Hasrat kerajaan untuk tidak lagi membenarkan pelajar dengan sewenang-wenangnya mengambil seberapa banyak subjek yang mereka suka dalam pelajaran merupakan satu langkah awal ke arah melahirkan satu generasi muda yang berkaliber. Selama ini kita lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti. Sesungguhnya sikap masyarakat kita sejak dahulu lagi lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti tanpa disedari yang membuatkan kita begitu “kagum” akan kejayaan demi kejayaan pelajar membuat rekod mendapat keputusan “A” dalam pelbagai subjek.
Sudah acap kali perbahasan akhbar di negara ini yang berkisar adakah pelajar yang mendapat 12A dalam SPM kurang baik atau tidak layak menerima biasiswa daripada pelajar yang mendapat 15A dalam peperiksaan yang sama. Bagaimana pula kalau pelajar yang mendapat 10A itu merupakan ketua pengawas, menyertai pasukan bola sepak peringkat negeri, dan melakukan kutipan derma untuk masyarakat buta di kawasan sekitarnya serta berasal daripada keluarga petani manakala pelajar yang mendapat 18A itu hanya duduk di rumah membaca dan membaca tanpa melakukan aktiviti lain di rumah banglo yang tersergam indah menanti guru peribadi datang menjenguk setiap dua kali seminggu. Agaknya anda memilih siapa?
Kejayaan pelajar dalam kehidupannya terutama alam kerjaya tidak banyak bergantung kepada kemahiran memiliki banyak ‘A’. Sudah ada banyak kajian yang membuktikan bahawa pelbagai faktor lain yang turut mempengaruhi kejayaan pelajar itu menempuh alam kerjaya dan kedewasaannya. Malah, kalau kita ambil contoh mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan di negara ini, sudah pasti ramai yang tidak memiliki kejayaan pendidikan yang megagumkan. Namun, mereka masih tetap berjaya dan kenapa?
Jadi, seorang rakan saya bertanya kepada saya, apakah kriteria utama yang akan saya gunakan untuk melihat calon-calon yang meminta tawaran biasiswa atau memasuki universiti terkemuka jika saya menjadi penentu pemilihan itu. Jawapan saya mudah sahaja yakni pelajar atau calon itu mestilah unik. Maksud saya unik dalam aspek pandangannya terhadap sesuatu isu yang disoalkan atau unik daripada aspek konsep kerja, pendidikan dan sebagainya. Keunikkan ini amat penting kerana sikap sebeginilah yang mampu menghasilkan sesuatu yang menarik daripada seseorang pelajar tersebut.
Pelajar yang unik bukan sahaja mampu menjadi manusia yang baik tetapi juga melakukan sesuatu kerja dengan lebih baik berbanding dengan calon yang biasa sahaja pandangan hidupnya. Mereka yang unik ini akan cuba melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Mereka akan bertindak mengikut perasaan mereka tetapi masih lagi dalam batas-batas kemanusiaan yang sebenar. Mereka tidak akan menghafap sebaliknya mereka memahami, menghargai dan kemudiannya melakukan perubahan supaya semua yang mereka belajar itu boleh dikaitkan dengan kehidupan semasa mereka.
Manakala, pelajar yang biasa sahaja tidak akan mahu melepasi sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan lalu mudah menerima sahaja sesuatu keadaan tanpa berusaha untuk berfikir secara kreatif untuk menyelesaikannya. Mereka melakukan sesuatu kerana itu kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat. Tindakan yang dilaksanakan merupakan sesuatu yang dihafal sahaja tanpa ada aspek penghargaan melakukannya. Hafal dan hafal kemudian menghafal dan seterusnya mereka mampu mengingati semua soalan yang bakal ditanya. Jadi, sesuatu yang unik itulah yang biasanya saya cari dalam diri seseorang terutama calon kerja.
Pelajar yang memperoleh berpuluh-puluh ‘A’ belum tentu unik dalam erti kata yang sebenarnya. Malah, saya yakin banyak negara di dunia ini yang setiap kali membuat pemilihan pelajar terbaiknya tidak hanya memberikan perhatian kepada aspek kelayakan akademik sahaja kerana tanpa kelayakan akademik belum tentu seseorang itu unik tetapi dengan adanya sikap unik dalam diri seseorang itu, pasti wujud satu kebijaksanaan yang menunggu masa sahaja untuk ditemukan.